Presiden Bola Sepak Kemboja ‘U-Turn’ Letak Jawatan Selepas Dipujuk PM
May 9, 2023 Meor Mohamad Amirul

Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Jeneral Sao Sokha menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan susulan permintaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan peminat bola sepak negara itu. 

Menurut laporan media Kemboja, Khmer Times, Hun Sen difahamkan menggesa Sokha kekal memimpin tampuk pengurusan bola sepak negara itu berikutan peningkatan yang ditunjukkan bola sepak Kemboja di bawah kendaliannya.

Selain itu, sokongan daripada para penaja dan peminat itu yang mahu Sokha terus kekal mentadbir FFC seolah-olah memberikan maklum balas positif terhadap mandat yang telah diberikan kepada beliau.

Oleh itu, Sokha akan meneruskan mandatnya sebagai Presiden FFC dan beliau turut menyeru semua kelab untuk terus melakukan perubahan dan membangunkan segala bahagian yang berkaitan bola sepak.

Terdahulu, Jeneral Sao Sokha ingin mengambil tanggungjawab dan berjanji untuk melepaskan jawatannya sekiranya skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan mereka gagal mara ke peringkat separuh akhir dalam temasya Sukan SEA 2023.

Sao Sokha tampil mengumumkan meletakkan jawatannya selaku Presiden FFC menerusi akaun Facebook peribadinya berkuat kuasa serta-merta. Pengumuman itu turut dikongsikan oleh laman sosial rasmi FFC dua hari lalu.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan buat Kemboja, satu-satunya cara untuk mereka mara ke peringkat seterusnya adalah dengan menewaskan juara kumpulan, Indonesia dan menantikan keputusan perlawanan Myanmar.

Untuk pengetahuan semua, FFC telah memulakan revolusi bola sepaknya yang tersendiri selepas melantik bintang Jepun, Keisuke Honda selaku pengurus besar bola sepak Kemboja bagi memajukan bola sepak di negara tersebut. 

Featured Image: Cambodian Premier League

Komen