Michelle, Dr. Timothy Tidak Lagi Bersama ABM
May 9, 2023 Meor Mohamad Amirul

Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai dan Pengarah Berprestasi Tinggi ABM, Dr. Timothy John Jones menjadi dua individu terbaharu yang meninggalkan pusat badminton berprestasi tinggi kebangsaan.

Perkembangan itu diumumkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan disiarkan menerusi pelbagai media sosial rasminya, semalam.

Menurut kenyataan yang dikelurkan BAM itu juga, kedua-dua individu tersebut mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan kurang memberangsangkan melibatkan pemain badminton Malaysia baru-baru ini.

Oleh itu, Michelle telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatannya manakala Dr. Timothy pula telah dilepaskan daripada tugasnya secara serta-merta.

Terdahulu, Michelle menerusi ciapan Twitternya, berkata akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan skuad badminton wanita negara di tangan Filipina dan akan meneliti permasalahan yang membelenggu mereka. 

Michelle tidak mahu pihaknya terus berselindung di sebalik alasan pemain muda dan kurang pengalaman susulan terkandas awal dalam acara badminton berpasukan wanita di Sukan SEA 2023. 

Tegas Michelle, kekalahan kepada Filipina tidak boleh diterima jika alasan tersebut digunakan memandangkan skuad Sukan SEA negara telah menerima sokongan secukupnya berbanding negara jiran itu. 

Kekalahan 3-0 kepada pasukan badminton wanita Filipina tempohari bermakna skuad badminton wanita kebangsaan tersingkir awal dan mengulangi episod duka yang sama ketika di temasya Sukan SEA 2021 Vietnam. 

Featured Image: Badminton Association Malaysia

Komen