Undian Piala Asia 2023 Mula 7 Malam – Strim Langsung Menerusi Youtube & Facebook
May 9, 2023 Hafizuddin Omar

Umum tahu Majlis Undian Piala Asia 2023 dijadualkan berlangsung pada 11 Mei (Khamis) kelak bertempat di Katara Opera House, Qatar. 

Menerusi makluman terbaru oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), majlis itu akan bermula jam 2 petang waktu tempatan atau 7 malam waktu Malaysia. 

Pada masa yang sama, pihak penganjur turut memaklumkan ianya akan disiarkan secara penstriman langsung melalui saluran Youtube, LIVE | AFC Asian Cup Qatar 2023™ Final Draw serta Facebook Page, AFC Asian Cup.

Sebanyak 24 buah pasukan termasuk Malaysia akan bersaing dalam kancah Piala Asia yang akan bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Malaysia yang dibimbing oleh Kim Pan-gon diletakkan dalam Balang 4 bersama-sama India, Tajikistan, Thailand, Hong Kong dan Indonesia.

Sementara itu, Bahrain, Syria, Palestin, Vietnam, Republik Kyrgyzstan dan Lubnan pula berada dalam Balang 3.

Enam buah pasukan lagi yang terdiri daripada Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Uzbekistan, China PR dan Jordan mengisi Balang 2.

Tuan rumah, Qatar bersama-sama Jepun, Iran, Republik Korea, Australia dan Arab Saudi pula menghuni Balang 1.

Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat buat balang tersebut berdasarkan kedudukan Ranking FIFA terbaru masing-masing. 

Dalam majlis itu nanti, kesemua pasukan ini akan diundi kepada enam buah kumpulan dengan setiap kumpulan diisi dengan empat buah pasukan.

Komen