Artikel

Sukan SEA 2023: Shereen Tamatkan Kemarau 24 Tahun Emas 400m – Ulangi Pencapaian Ibu

Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy berjaya menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas bagi acara 400 meter (m) di temasya Sukan SEA apabila muncul pemenang dalam acara berkenaan di Stadium Morodok Techo, semalam. 

Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan berjaya tiba di garisan penamat dengan catatan 52.53 saat (s), menjadi ratu 400m Asia Tenggara yang baharu dari Malaysia sejak kali terakhir dimenangi Manimagalay Nadarajah di Sukan SEA 1999 Brunei. 

Juara bertahan bagi empat edisi sebelumnya berturut-turut, Nguyen Thi Huyen akur raih pingat perak dengan catatan masa 53.27s, diikuti seorang lagi atlet Vietnam, Nguyen Thi Hang di kedudukan pingat gangsa (53.84s).

Pencapaiannya itu turut mengulangi pencapaian ibunya, Josephine Mary Singarayar yang juga memenangi pingat emas bagi acara yang sama di Sukan SEA 1987 Jakarta. 

Terdahulu, atlet kelahiran Ipoh, Perak itu mengutip pingat gangsa dalam Sukan SEA 2015 Singapura sebelum berhijrah ke bumi Amerika Syarikat pada tahun 2018 bagi menyambung pengajian dan karier olahraganya di Winona State University, Minnesota. 

Di negara ‘Uncle Sam’ itu juga, Shereen berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 400m dengan catatan masa 51.80s, memperbaiki rekod yang dipegang pelari legenda negara, Allahyarhamah Rabia Abdul Salam di Manila iaitu 52.56s. 

Catatan masa itu direkodkan semasa Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California sekaligus memecahkan rekod 30 tahun di Kejohanan Asia, Manila tersebut dan menjadi rekod terbaik peribadinya bagi acara 400m setakat ini.

Selain Shereen, Umar Osman turut mencipta kejutan bagi acara 400m lelaki apabila meraih emas selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 46.34s sekaligus memadam rekod kebangsaan yang dipegang Zaiful Zainal Abidin di Kejohanan Olahraga Remaja Asia edisi 2001 (46.41s).

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

komen