Sukan SEA 2023: Malaysian Tigress Lakar Prestasi Lebih Baik Berbanding Edisi 2019 & 2021
May 10, 2023 Meor Mohamad Amirul

Malaysian Tigress terpaksa akur pulang awal apabila gagal peroleh sebarang mata di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja. Akan tetapi, Malaysia berhasil menampilkan prestasi yang lebih baik berbanding dua edisi Sukan SEA yang disertai sebelum ini – 2017 & 2019.

Biarpun pulang tanpa sebarang mata, Malaysia memperbaiki rekod defensif pasukan negara apabila mencatatkan jumlah bolos yang lebih rendah iaitu 9 gol berbanding edisi di Kuala Lumpur dan Manila.

Terbaharu, skuad kendalian Soleen Al Zou’bi mengalami kekalahan besar menentang Myanmar yang berakhir dengan keputusan 5-1. Jaringan saguhati Intan Sarah Zulgafli menjadi satu-satunya gol buat Malaysia pada saingan kali ini. 

Malaysia juga mencatatkan kekalahan 3-0 dan 1-0 dalam dua lagi pertemuan Kumpulan A bertemu Vietnam dan Myanmar masing-masing yang menyaksikan skuad negara bolos sembilan kali dan tidak memperoleh sebarang mata.

Ketika di Sukan SEA 2019, Malaysia gagal mara ke peringkat seterusnya selepas tewas 2 perlawanan peringkat kumpulan dan bolos 10 kali. Dua tahun sebelumnya, Malaysia berakhir di tempat kelima dalam format liga satu pusingan dengan satu gol dijaringkan dan bolos 19 gol.

Rekod terburuk Malaysia hadir di Sukan SEA 2009 Laos apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa sebarang mata tetapi dengan jumlah bolos tertinggi pernah dicatatkan Malayan Tigress (34).

Untuk pengetahuan semua, rekod terbaik skuad bola sepak wanita negara hanya dicatatkan pada Sukan SEA 1995 Thailand apabila Malaysia berjaya meraih pingat perak di temasya tersebut.

Pada edisi yang lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil langkah drastik dengan tidak menghantar skuad bola sepak wanita ke Sukan SEA 2021 Vietnam. 

Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Komen