Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli kini memiliki sebutir pingat perak serta tiga butir pingat gangsa dalam koleksi peribadi hasil penyertaannya dalam temasya Sukan SEA.
Terbaru, Ziyad yang berusia 33 tahun menambah pingat gangsa ketiganya ketika mengambil bahagian dalam acara lontar peluru di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja. Pingat itu menjadi miliknya selepas mencatatkan lontaran terbaiknya sejauh 17.30 meter (m).
Sementara itu, pingat emas dan perak bagi acara terbabit dibawa pulang oleh atlet normal Thailand, Jakkapat dan Vietnam, Thanh Binh Phan dengan catatan lontaran sejauh 17.84m dan 17.39m masing-masing.
Untuk makluman semua, atlet yang sering kali beraksi dalam kategori F20 (masalah intelektual) di temasya dan kejohanan para seperti Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asian, Paralimpik dan Kejohanan Olahraga Para Dunia mengutip pingat pertamanya iaitu pingat perak di Sukan SEA 2017.
Dua edisi berikutnya di Filipina (2019) dan Vietnam (2021) menyaksikan Ziyad mengutip pingat gangsa.
Featured Image: Paralympic Council of Malaysia