Marquez Dibenarkan Bertanding Tanpa Hukuman ‘Long Lap’ – FIM
May 10, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pelumba sensasi, Marc Marquez sah terlepas daripada dikenakan hukuman ‘Long Lap Penalty’ berganda dalam perlumbaan yang akan datang susulan memenangi perbicaraan di Mahkamah Rayuan MotoGP. 

Menurut kenyataan dikeluarkan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), mahkamah telah membuat keputusan bahawa hukuman ke atas pelumba berusia 30 tahun itu telah selesai berikutan ketiadaannya di Argentina. 

“Dengan itu, Marc Marquez dibenarkan bertanding dalam perlumbaan seterusnya di mana dia boleh menyertainya, tanpa sebarang sekatan lanjut,” kata FIM dalam kenyataan yang sama. 

Terdahulu, Marquez telah menjadi punca kemalangan dengan Miguel Oliviera yang menyebabkan kedua-dua pelumba tersingkir pada aksi pembukaan musim di Portugal sekaligus dikenakan hukuman ‘Long Lap Penalty’ berganda.

Juara enam kali itu telah memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya itu tetapi terpaksa diketepikan dalam dua perlumbaan susulan kecederaan tangan yang dialaminya dan mencetuskan tanda tanya terhadap status hukumannya. 

Rayuan telah dilakukan pihak Marc Marquez dan Repsol Honda Team pada 17 April 2023 sebelum Mahkamah Rayuan MotoGP memberikan keputusan akhir mereka, hari ini.

Pelumba Sepanyol itu dijangka kembali pada aksi pelumbaan Grand Prix (GP) Perancis yang akan berlangsung hujung minggu ini. Untuk pengetahuan umum, GP Perancis merupakan GP ke-1000 dalam sejarah MotoGP.

Featured Image: MotoGP

Komen