STL 2023 Perkenalkan Kejohanan Baharu – Piala Cabaran
May 10, 2023 Meor Mohamad Amirul

Sepak Takraw League (STL) 2023 bakal membuka tirai buat kali kesembilan penganjurannya dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Astro mengambil inisiatif memperkenalkan Piala Cabaran bagi merancakkan saingan musim baharu. 

Format kejohanan Piala Cabaran akan mempertemukan empat pasukan terbaik STL yang bakal beraksi pada hari terakhir melibatkan saingan separuh akhir dan akhir. 

Kejohanan tersebut akan menambah lagi satu koleksi piala yang akan dipertandingkan dalam saingan STL termasuk dua kejuaraan sedia ada iaitu Liga STL yang dibahagikan kepada dua divisyen; Perdana dan Divisyen 1 serta Piala Juara-Juara STL.

Saingan liga sukan tradisi itu bakal bermula 26 Mei ini dan akan berlangsung di beberapa lokasi pertandingan di sekitar Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Selain kehadiran Piala Cabaran, kelainan turut ditampilkan pada musim ini bagi saingan Piala Juara-Juara STL dengan empat pasukan terbaik divisyen perdana akan bertanding bersama empat pasukan jemputan dari luar negara. 

Dalam pada itu, kesemua pasukan yang beraksi dalam saingan STL musim ini sedang rancak mempersiapkan skuad terbaik mereka untuk merebut kejuaraan yang dipertandingkan. 

Pasukan-pasukan yang sah bakal beraksi dalam saingan divisyen perdana Liga STL 2023 ialah ATM Guardians, Kuala Lumpur Thunder, Negeri Sembilan Antlers, Penang Black Panthers, Putrajaya Cyborg, Johor Tigris, Selangor Pistons, Perak Bison, Bomba Fighters dan Sabah Mountaineers.

Featured Image: Sepak Takraw League (Facebook)

Komen