Sukan SEA 2023: Skuad Badminton Lelaki Singkir Juara Bertahan, Bertemu Indonesia Di Final
May 10, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad badminton lelaki negara berhasil mengesahkan tempat ke perlawanan akhir dalam acara badminton berpasukan lelaki di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 sekaligus mengulangi pencapaian pada edisi lalu.

Lebih manis, skuad negara melakar kemaraan berkenaan dengan menumpaskan juara bertahan, Thailand pada peringkat separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi. Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan begitu mudah.

Malaysia berhasil mendapatkan mata pertama hasil kejutan yang dicipta Leong Jun Hao (ranking ke-64) ke atas perseorangan Thailand yang menghuni ranking ke-34 dunia, Sitthikom Thammasin. 

Jun Hao berhasil mencipta kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 18-21 dan 21-10.

Kemudiannya, rentetan kemenangan itu diteruskan oleh beregu negara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe (ranking ke-136) yang turut mencipta kejutan ke atas pasangan Thailand yang menghuni ranking lebih lebih tinggi daripadanya, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul (ranking ke-79).

Gandingan Chun Meng-Boon Zhe turut melakar kemenangan tersebut menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 21-16, 14-21 dan 21-15 sekaligus memberikan Malaysia mendahului 2-0 ke atas Thailand.

Namun begitu, Thailand berhasil mengekang Malaysia daripada mengesahkan kemenangan dengan lebih awal apabila perseorangannya yang menghuni ranking ke-135 dunia, Panitchaphon Teeraratsakul mencatatkan kemenangan ke atas Ong Ken Yon (ranking ke-104) dalam pertarungan ketiga secara “straight set” dengan skor 17-21 dan 15-21.

Pada pertarungan keempat, Thailand sekali lagi berjaya mengekang Malaysia daripada mengesahkan kemenangan awal sekaligus menyamakan kedudukan menjadi 2-2. Kedudukan itu hadir menerusi kemenangan “scratch pair” Ruttanapak Oupthong-Nanthakarn Yordphaisong ke atas gandingan negara yang berada di ranking ke-106 dunia, Chia Weijie-Liew Xun.

Ruttanapak-Nanthakorn memenangi perlawanan itu secara “straight set” dengan skor 16-21 dan 14-21.

Perseorangan ketiga yang menjadi pertaruhan Malaysia pada perlawanan kelima, Jacky Kok Jing Hong (ranking ke-151) menjadi hero buat skuad negara ke perlawanan akhir dengan menumpaskan pemain lawan yang menghuni ranking ke-435 dunia, Saran Jamsri.

Pertarungan itu dimenangi Jacky secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-21-13 sekaligus menjadikan Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 3-2 ke atas Thailand.

Kemenangan itu membawa Malaysia bertemu Indonesia bagi membuat perhitungan untuk merebut kilauan pingat emas bagi acara ini pada hari esok.

Sebagai rekod, Thailand muncul pemenang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2021 Vietnam setelah berjaya menumpaskan Malaysia dalam perlawanan akhir dengan keputusan 3-0.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen