Sukan SEA 2023: Kemarau Emas Acara 110m Berpagar Berterusan Buat Malaysia
May 10, 2023 Meor Mohamad Amirul

Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan pingat emas bagi acara 110 meter (m) berpagar selepas kedua-dua atlet negara, Benedict Ian Gawok dan Shareem Aleimran Abdul Rahman tidak berjaya meraih kedudukan podium. 

Shareem Aleimran menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 14.67 saat (s) manakala Benedict Ian Gawok pula tidak menamatkan perlumbaan.

Pingat emas diraih atlet Thailand, Nattaphon Dansungnoen dengan rekod 13.832s, perbezaan masa yang sangat tipis sebanyak 0.002s dengan pemenang pingat perak, Cheng Xiang Ang dari Singapura (13.834s). 

Pingat gangsa pula dimenangi atlet Filipina, John Christopher Cabang Tolentino dengan catatan masa 13.85s.

Terdahulu, pingat emas terakhir dimenangi negara bagi acara 110m berpagar diraih Rayzam Shah Wan Sofian ketika di temasya Sukan SEA 2017 dengan catatan masa 13.83s. 

Dua tahun kemudian, Rayzam Shah hampir meneruskan dominasinya tetapi perbezaan masa yang sangat tipis meletakkan atlet Filipina, Clinton Bautista selaku pemenang pingat emas bagi acara tersebut di Manila. 

Komen