Artikel

Sukan SEA 2023: Nor Sarah Adi Terlepas Pingat Emas, Pecah Rekod Peribadi

Atlet olahraga negara, Nor Sarah Adi meraih pingat perak bagi acara lompat bergalah dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, semalam. 

Pencapaiannya itu sekaligus bermakna Nor Sarah gagal untuk mempertahankan pingat emas dalam acara yang sama dimenanginya pada Sukan SEA 2021 Vietnam.

Meskipun begitu, atlet berusia 23 tahun itu berjaya memecahkan rekod terbaik peribadinya apabila mencatatkan lompatan berketinggian 4.05 meter (m), memperbaiki rekod yang dicatatkannya pada temasya yang lalu iaitu 4.00m. 

Pemenang pingat emas, Chonthicha Khabut turut merekodkan ketinggian lompatan yang sama dengan Nor Sarah (4.05m) tetapi atlet negara terpaksa akur raih pingat perak selepas dua lompatan pertama pada ketinggian 3.85m dan 3.90m masing-masing dibatalkan.

Pingat gangsa pula dimenangi atlet Filipina, Natalie Rose Steinlage Uy selepas mencatatkan jarak lompatan setinggi 4.00m. 

Terdahulu, aksi sulung Nor Sarah dalam temasya Sukan SEA mencipta kejutan apabila berjaya meraih pingat emas dengan catatan jarak lompatan setinggi 4.00m yang menyaksikan pesaing yang sama, Chonthicha Khabut meraih pingat perak dengan lompatan berketinggian 3.80m. 

Selain acara lompat bergalah, Nor Sarah juga membawa pulang pingat gangsa bagi acara balapan 4x100m pada temasya yang lalu.

Anak kelahiran California, Amerika Syarikat itu juga dikhabarkan mengalami kecederaan ligamen dua minggu sebelum temasya kali ini berlangsung dan hanya kembali berlatih sehari sebelum hari pertandingan (semalam).

Featured Image: Instagram Nor Sarah Adi

komen