Sukan SEA 2023: Malaysia Terlepas Pingat Emas Acara Sepak Takraw Regu Berpasukan
May 11, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pasukan regu sepak takraw Malaysia terlepas peluang untuk meraih pingat emas selepas tewas kepada juara bertahan, Thailand dalam aksi pertama acara regu berpasukan dengan keputusan 1-2.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara perlu menewaskan tuan rumah, Kemboja dalam aksi terakhir acara regu berpasukan bagi memastikan pingat perak menjadi milik Malaysia. 

Dalam perlawanan tersebut, Regu A negara yang diwakili Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) bangkit selepas tewas pada set pertama dengan skor 13-21, 21-17 dan 21-18.

Namun, Regu B Malaysia yang menampilkan gandingan Meor Zulfikar (tekong), Aidil Aiman (apit kiri) dan Afifuddin Razali (apit kanan) pula tidak dapat mengekalkan konsistensi kemenangan – tumpas dengan skor 25-24, 15-21 dan 14-21.

Gandingan Haziq Hairul Nizam (tekong), Norfaizzul Razak (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) pula menjadi mangsa kebangkitan Thailand yang menang ‘straight set’ dengan keputusan 8-21 dan 12-21.

Hanya kemenangan menentang Kemboja dapat memastikan skuad regu berpasukan negara mengulangi pencapaian pingat perak seperti di Vietnam tahun lalu.

Sebagai rekod, Malaysia terpaksa akur memungut pingat perak bagi acara yang sama selepas tewas pada aksi pertama menentang Thailand sebelum bangkit menewaskan Vietnam dan Kemboja di temasya Sukan SEA 2021.

Untuk makluman, penganjuran acara regu berpasukan tidak dibatalkan biarpun hanya tiga negara yang terlibat; Thailand, Malaysia dan Kemboja bagi menghargai titik peluh pemain dan pengurusan dan berlangsung dalam format liga satu pusingan (single round robin).

Featured Image: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)

Komen