Pasukan pencak silat Malaysia berjaya memperbaiki catatan pingat yang diraih pada edisi yang lalu apabila meraih empat pingat emas, lima pingat perak dan empat pingat gangsa di temasya Sukan SEA 2023.
Terdahulu, pasukan pencak silat negara berjaya meraih dua emas, tiga perak dan sembilan gangsa secara keseluruhannya dengan pingat emas hadir menerusi gandingan lelaki, Taqiyuddin Hamid dan Sazlan Yuga serta Khairi Adib di Sukan SEA 2021 Vietnam.
Kejayaan itu mendapat penghargaan Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada pasukan silat negara yang dizahirkannya menerusi pelbagai platform media sosial Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Alhamdulillah, pasukan silat kami telah memberikan yang terbaik untuk kontinjen Malaysia. Bagi pihak PESAKA, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MOM, MSN dan ISN atas segala khidmat sokongan yang diberikan kepada pasukan silat dalam persiapan kami untuk Sukan SEA ke-32”, ujar Megat Zulkarnain.
Kejayaan meraih empat pingat emas itu juga melepasi sasaran pingat yang telah ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang hanya menyasarkan dua emas, tiga perak dan tujuh gangsa pada temasya kali ini.
Pingat emas bagi acara melibatkan sukan pencak silat disumbangkan oleh kembar, Danial Azrol dan Danial Azray (Artistik Ganda Beregu Lelaki), Norsyakirah Mukhsin (Tanding Wanita – Kelas U45), Norfarah Mazlan (Tanding Wanita – Kelas A) serta Izzul Irfan (Tanding Lelaki – Kelas D).
Featured image: Olympic Council of Malaysia (Facebook)