Sukan SEA 2023: Atlet Terjun Berusia 15 Tahun Cipta Kejutan Raih Emas
May 11, 2023 Meor Mohamad Amirul

Atlet terjun negara, Lee Yiat Qing yang baru berusia 15 tahun mencipta kejutan apabila menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia bagi acara terjun 10 meter platform wanita di temasya Sukan SEA 2023.

Yiat Qing muncul pemenang setelah mengutip jumlah mata keseluruhan sebanyak 253.8 mata, diikuti pemenang pingat perak, Thi Hong Biang Hui dari Vietnam (242.2 mata) dan pingat gangsa dimenangi atlet Indonesia, Gladies Lariesa Garina Haga (228.0 mata).

Manakala, seorang lagi atlet negara, Nur Eilisha Rania terlepas kedudukan podium apabila mengutip 227.05 mata yang meletakkan dirinya di kedudukan keempat bagi acara tersebut. 

Untuk pengetahuan semua, Yiat Qing dan Eilisha Rania merupakan dua atlet muda yang dipertaruhkan bagi acara tersebut tanpa kehadiran nama-nama besar pada temasya kali ini. 

Kejayaan sulung atlet remaja itu jelas menarik perhatian pelbagai pihak memandangkan acara yang diwakilinya itu kerap menyumbangkan pingat emas menerusi terjunan Datuk Pandalela Rinong, Datuk Leong Mun Yee dan Dhabitah Sabri. 

Untuk rekod, kali terakhir acara terjun 10 meter platform wanita dipertandingkan di temasya ini adalah pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dengan Datuk Pandelela Rinong meraih pingat emas buat negara. 

Komen