Kontinjen Malaysia terus kempunan untuk merangkul pingat emas dalam acara badminton berpasukan lelaki di pentas Sukan SEA sekaligus menyaksikan kemarau selama 18 tahun kilauan pingat tersebut berterusan.
Situasi ini hadir apabila Malaysia terpaksa akur tumpas kepada Indonesia dalam perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia terlebih dahulu meraih kemenangan pada pertarungan pertama hasil kemenangan Leong Jun Hao (ranking ke-64) ke atas Chico Aura Dwi Wardoyo (ranking ke-19) secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-13.
Namun begitu, Indonesia tampil menyamakan kedudukan tersebut pada pertarungan kedua hasil kemenangan gandingan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (ranking ke-14) ke atas Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe (ranking ke-76) dengan skor 12-21 dan 20-21 sekaligus menjadikan keputusan semasa 1-1.
Rentetan kemenangan itu diteruskan Indonesia menerusi perseorangan keduanya yang menjadi taruhan pada pertarungan ketiga. Christian Adinata (ranking ke-59) tidak mempunyai masalah untuk mengatasi Lee Shu Yang (ranking ke-95) juga secara “straight set” dengan skor 17-21 dan 9-21 untuk memastikan pendahuluan 2-1 ke atas Malaysia.
Medali emas pertama dari bulutangkis!
Terima kasih untuk semua doa dan dukungan. Mari berjuang lagi di nomor perorangan! 💪🏻#SEAGames2023 pic.twitter.com/03ojm4x1Ei
— BADMINTON INDONESIA (@INABadminton) May 11, 2023
Pada pertarungan keempat, Chia Weijie-Liew Xun (ranking ke-106) sempat memberikan cabaran sengit kepada Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan (ranking ke-33).
Mereka meraih kemenangan pada set pertama 21-13 sebelum beregu Indonesia itu melakar kemenangan pada set kedua dengan skor 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Akan tetapi, Chia Weijie-Liew Xun tidak dapat mengekang Pramudya-Yeremia pada set tersebut dan terpaksa akur tumpas dengan skor 21-16 dan mengesahkan kekalahan Malaysia dengan keputusan 1-3 di tangan Indonesia.
Sebagai perbandingan, pencapaian meraih pingat perak dalam acara ini pada edisi kali ini menyamai pencapaian pada edisi lalu di Vietnam.
Untuk rekod, kali terakhir Kontinjen Malaysia meraih emas dalam acara ini adalah menerusi barisan pemain yang terdiri daripada Lee Chong Wei, Chan Choon Ming-Koo Kien Keat, Hafiz Hashim, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Wong Choong Han pada tahun 2005.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia