Skuad bola sepak kebangsaan yang terkenal dengan julukan Harimau Malaya akan mengharungi saingan Piala Asia 2023 di Qatar kelak dengan bertemu salah satu pasukan yang dibintangi oleh pemain terkenal dunia, Son Heung-min iaitu Republik Korea (ranking ke-27).
Selain itu, Malaysia yang turut dibimbing oleh ketua jurulatih dari negara tersebut, Kim Pan-gon akan berhadapan dengan dua pasukan dari rantau asia barat iaitu Jordan dan Bahrain yang menghuni ranking ke-84 dan ke-85 masing-masing.
Untuk makluman semua, keempat-empat pasukan ini diletakkan dalam Kumpulan E. Keputusan ini hadir selepas selesainya majlis undian yang berlangsung di Katara Opera House, Qatar, sebentar tadi.
Ladies and gentlemen, the draw is done! ✅
The Groups are set! ✔️
Let the countdown to #AsianCup2023 begin! pic.twitter.com/UtgH8jgsfd
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) May 11, 2023
Sementara itu, hasil undian menyaksikan Kumpulan A diserikan dengan kehadiran pasukan tuan rumah bersama-sama China, Lubnan dan Tajikistan.
Kumpulan B pula diisi dengan Australia, Uzbekistan, Syria dan India. Pada masa yang sama, Kumpulan C terdiri daripada Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Hong Kong.
Manakala Kumpulan D menyaksikan ianya diisi oleh dua pasukan dari rantau asia tenggara iaitu Vietnam dan Indonesia bersama-sama Jepun dan Iraq.
Akhir sekali, Arab Saudi, Oman, Kyrgyzstan dan Thailand pula menghiasi Kumpulan F.
Untuk makluman semua, kejohanan tertinggi bagi benua asia ini akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari pada tahun hadapan.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan pertama skuad Harimau Malaya selepas hampir 44 tahun secara merit di kejohanan Piala Asia.
Malaysia mengesahkan tempat ke saingan ini setelah menamatkan saingan kelayakan selaku naib juara Kumpulan E serta meletakkan diri sebagai pasukan ketiga dalam kalangan enam naib juara terbaik merentasi semua kumpulan peringkat kelayakan, pada tahun lalu.