Sukan SEA 2023: Andre Pastikan Malaysia Pungut Emas Ke-5 Berturut-Turut Acara Lompat Kijang

May 12, 2023
Olahraga

Hafiz Omar

Atlet kelahiran Sabah, Andre Anura memastikan Kontinjen Malaysia kini memungut pingat emas buat kali kelima berturut-turut dalam acara lompat kijang kategori lelaki di pentas Sukan SEA sejak edisi 2015.

Atlet berketinggian 1.69 meter (m) yang bakal menjengah usia 24 tahun ini memastikan perkara berkenaan apabila lompatannya sejauh 16.06m dalam acara tersebut tidak dapat diatasi oleh peserta-peserta lain sekaligus membutirkan pingat emas Sukan SEA 2023 Kemboja kepadanya, semalam.

Bukan itu sahaja, kemenangan ini sekaligus menyaksikan Andre mempertahankan kilauan emas yang dimenanginya dalam acara yang sama pada Sukan SEA edisi lalu di Vietnam. 

Sementara itu, pingat perak dan gangsa pula dibawa pulang oleh dua atlet Filipina iaitu Ronne Auxilio Malipay dan Mark Harry Aloto Diones dengan rekod lompatan sejauh 15.74m dan 15.70m masing-masing. 

Untuk makluman, acara lompat kijang pada Sukan SEA pada tiga edisi sebelumnya iaitu 2015, 2017 dan 2019 menyaksikan Kontinjen Malaysia memungut pingat emas menerusi Muhammad Hakimi Ismail.

Featured Image: Fong Wan Hor – Olympic Council of Malaysia (OCM)

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd