Gandingan campuran Malaysia, Choong Hon Jian dan Yap Ling hanya memerlukan 18 minit sahaja untuk menundukkan atlet tuan rumah, Bun Srey Hong dan Heng Mengleap di temasya Sukan SEA 2023.
Kemenangan mudah “straight set” 21-9 dan 21-8 ke atas gandingan Kemboja tersebut di Pusingan 16 itu sekaligus melayakkan gandingan negara ke peringkat suku akhir pada temasya kali ini.
Untuk makluman, Hon Jian-Yap Ling akan beraksi menentang beregu Thailand, Chasinee Korepap dan Ratchipol Makkasasithorn di peringkat seterusnya selepas mereka menewaskan gandingan Vietnam, Dinh Manh Tran-Thi Phuong Hong Dinh.
Perlawanan kedua-dua beregu tersebut memperlihatkan aksi sengit yang ditampilkan atlet Thailand dan Vietnam berkesudahan dengan kemenangan “straight set” 21-18 dan 21-19 kepada wakil negara gajah putih itu.
Beregu campuran No.4 Thailand itu akan bertemu buat kali pertama dengan gandingan negara dan pemenang akan mara ke peringkat separuh akhir dalam misi mempertahankan emas yang dimenangi di Vietnam.
Terdahulu, dua gandingan negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Hoo Pang Roo-Cheah Yee See menghadiahkan pingat emas dan perak selepas kedua-dua beregu campuran Malaysia ini bertemu di pentas akhir pada edisi yang lalu.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia (Facebook)