Barcelona Raih Kejuaraan La Liga Yang Pertama Sejak 2019
May 15, 2023 Hafizuddin Omar

FC Barcelona kembali menjulang trofi saingan tertinggi bola sepak Sepanyol, La Liga selepas kemarau kejuaraan bagi saingan tersebut selama empat tahun.

Skuad bimbingan Xavi Hernandez mengesahkan kejuaraan tersebut apabila mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas seteru setempatnya, Espanyol dalam perlawanan ke-34 liga pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang utamanya, Robert Lewandowski berhasil mencetak dua gol disamping tambahan satu gol daripada Alejandro Balde dan Jules Kounde masing-masing.

Manakala dua jaringan daripada Espanyol pula dihasilkan oleh Javi Puado dan Joselu pada babak kedua perlawanan.

Kemenangan tersebut membolehkan Barcelona mengumpul 85 mata. Biarpun masih berbaki sebanyak empat perlawanan, sekiranya skuad berjulukan Blaugrana ini tumpas dalam keempat-empat perlawanan tersebut, ianya sudah tidak mampu lagi dipintas oleh pencabar terdekatnya, Real Madrid yang berada di tangga kedua dengan 71 mata.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan La Liga ke-27 buat Barcelona serta yang pertama dimenangi oleh Xavi sejak bergelar pengurus pasukan bermula November 2021.

Featured Image: FC Barcelona

Komen