Sukan SEA 2023: Sepak Takraw Terus Kempunan Emas Sulung Acara Beregu Lelaki
May 15, 2023 Meor Mohamad Amirul

Skuad beregu sepak takraw Malaysia nampaknya terus kempunan untuk mencipta sejarah baharu apabila terlepas pingat emas bagi acara tersebut di temasya Sukan SEA 2023. 

Sayangnya, Malaysia tidak dapat menebus kekecewaan yang mereka rasai di Sukan SEA 2021 apabila sekali lagi dikalahkan juara bertahan, Indonesia sekaligus terpaksa berpuas hati dengan kutipan pingat perak pada temasya kali ini. 

Malaysia menerusi gandingan Noraizat Nordin, Aidil Aiman dan Hafizul Hayazi tewas kepada seteru nusantara itu dengan keputusan 21-16, 16-21 dan 13-21 di pentas akhir, sebentar tadi. 

Menyoroti perjalanan skuad beregu negara, mereka mencatatkan tiga kemenangan bersih di peringkat kumpulan apabila menewaskan Kemboja, Myanmar dan Singapura secara ‘straight set’ sebelum mara ke peringkat separuh akhir. 

Bertemu di peringkat separuh akhir, Filipina memberikan cabaran kepada Malaysia apabila memenangi set pertama (21-11). Malaysia terpaksa bangkit memberi saingan untuk memenangi set kedua (21-17) sebelum mengesahkan kemenangan pada set ketiga (21-19) sekaligus mara ke pentas akhir. 

Pada edisi lalu, skuad beregu sepak takraw lelaki negara turut meraih pingat perak menentang gandingan yang hampir sama dari Indonesia, Hardiansyah Muliang & Saiful Rijal serta Jelki Ladada di bangku simpanan.

Menariknya, Malaysia turut diwakili pasangan yang sama beraksi pada hari ini, Aidil Aiman dan Noraizat Nordin. Perbezaan hanya melibatkan Afifuddin Razali sebagai pemain simpanan. 

Perlawanan tersebut menyaksikan Indonesia meraih pingat emas apabila berjaya menundukkan gandingan Malaysia dengan keputusan 17-21, 22-20 dan 23-25.

Featured image: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (Facebook)

Komen