Artikel

Pogba Kembali Cedera Selepas 23 Minit Beraksi Sebagai Pemain Kesebelasan Utama Juventus

Keterujaan melihat Paul Pogba bermula sebagai pemain kesebelasan utama Juventus buat kali pertama sejak kembali menyertai skuad berjulukan The Old Lady pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu tidak bertahan lama.

Pemain tengah skuad kebangsaan Perancis tersebut disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh pengurus pasukan, Massimiliano Allegri ketika menentang Cremonese pada perlawanan ke-35 Serie A, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Namun begitu, kelibat pemain berusia 30 tahun itu bertahan selama sekitar 23 minit permainan sahaja berikutan mengalami kecederaan (dipercayai melibatkan quadriceps) yang memaksanya keluar sambil menangis kekecewaan meninggalkan padang.

Allegri bertindak menggantikan Pogba dengan pemain dari Poland, Arkadiusz Milik sebelum Juventus menutup perlawanan tersebut dengan kemenangan 2-0 ke atas Cremonese di Stadium Allianz.

Untuk makluman semua, ini merupakan kali ketiga Pogba mengalami kecederaan sejak dia menyertai Juventus pada Julai tahun lalu – meninggalkan Manchester United.

Antara siri kecederaan serius menimpanya adalah melibatkan lateral meniscus yang menimpanya ketika aksi pramusim menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan lutut dan terlepas saingan Piala Dunia 2022 lalu. Selain itu, Pogba turut mengalami kecederaan adductor muscle sekitar Mac lalu.

Kecederaan tersebut menyaksikan Pogba hanya dapat tampil buat pertama kali dalam perlawanan kompetitif bersama Juventus sebagai pemain gantian ketika bertemu Torino dalam aksi Serie A pada penghujung Februari lalu.

Bertitik tolak daripada perlawanan itu, Pogba diberikan peluang beraksi dalam lapan perlawanan lagi sebagai pemain gantian termasuk dalam saingan Piala Itali dan Liga Europa. 

Featured Image: Juventus

komen