Sukan SEA 2023: Roy King-Su Yin Bertemu Beregu No.10 Dunia Di Pentas Akhir
May 15, 2023 Hafizuddin Omar

Hanya selangkah sahaja lagi yang memisahkan Kontinjen Malaysia untuk mengulangi kejayaan Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei merangkul pingat emas dalam acara beregu campuran (individu) pada temasya Sukan SEA edisi lalu.

Ini selepas salah satu beregu campuran negara yang dipertaruhkan pada temasya kali ini, Yap Roy King dan Cheng Su Yin berhasil menempah tiket ke perlawanan akhir acara tersebut pada Sukan SEA 2023 Kemboja.

Gandingan pemain berusia 22 dan 19 tahun masing-masing melakar kemaraan berkenaan selepas menumpaskan beregu Thailand yang menghuni ranking ke-123 dunia, Pakkapon Teeraratsakul dan Phataimas Muenwong di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.

Pertarungan melibatkan kedua-dua pasangan ini berlangsung dengan penuh sengit. Roy King-Su Yin berhasil mencatatkan kemenangan pada set pertama 24-22 sebelum Pakkapon-Phataimas meraih kemenangan pada set kedua 27-25 sekaligus mengheret pertarungan ke set penentuan.

Namun begitu, kemaraan ke pentas akhir menjadi milik Roy King-Su Yin apabila mereka berjaya mengakhiri pertarungan di set ketiga dengan skor 21-19. Untuk makluman, pertarungan ini berlanjutan selama 72 minit sebelum diketahui pemenangnya.

Pada pentas akhir kelak, Roy King-Su Yin akan menantikan cabaran samada beregu Indonesia yang menghuni ranking kesepuluh dunia, Rehan Naufal-Lisa Ayu bagi merebut kilauan pingat emas.

Pasangan ini berhasil menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menumpaskan gandingan Thailand yang berada di ranking ke-56 dunia, Ratchapol Makkasasithorn-Chasinee Korepep dengan skor 19-21, 21-18 dan 21-19 dalam tempoh masa sekitar satu jam permainan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen