5 Fakta Menarik Mengenai Dick Sudirman – Nama Tokoh Disebalik Kejohanan Piala Sudirman
May 16, 2023 Meor Mohamad Amirul

Dick Sudirman merupakan atlet badminton yang lahir pada 22 April 1922 di Sumatera Utara, Indonesia dan menjadi individu penting terhadap sukan badminton di negara kepulauan Nusantara itu. Namanya telah terpahat dalam salah satu kejohanan utama anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kejohanan badminton berpasukan campuran dunia – Piala Sudirman

Ayuh Sukanz kenalkan anda dengan Dick Sudirman, individu penting yang memberikan nafas baharu buat IBF untuk kembali bersama dan menjadi Bapa Badminton Indonesia:

#1 Salah Seorang Pengasas PBSI

Dick Sudirman merupakan atlet badminton Indonesia yang bergerak secara bebas walaupun mewakili Indonesia. Hal ini yang menyebabkan Sudirman dan rakan-rakan atlet badmintonnya mahu membentuk sebuah pertubuhan kebangsaan. 

Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pertama kali ditubuhkan oleh tokoh badminton Indonesia yang terdiri daripada A. Rochdi Partaatmadja, Sudirman, Tri Tjondrokoesoemo dan beberapa tokoh lain pada Mei 1951 di Bandung. 

#2 Ketua Umum Terpanjang PBSI – 25 Tahun

Selepas pembentukan PBSI pada 1951, Rochdi Partaatmadja dilantik sebagai ketua umum (presiden) pertama persatuan sukan tersebut sebelum tampuknya diambil alih Sudirman setahun selepas itu.

Sehingga 1963, Sudirman bertahan selama 11 tahun sebelum posisinya digantikan dengan Sukamto Sayidiman. Bagaimanapun, Sudirman kembali memimpin PBSI buat kali kedua pada 1967 dan berkhidmat sehingga 1981. 

#3 Menyatukan IBF dan WBF

Konflik di antara Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dan Persekutuan Badminton Dunia (WBF) tercetus akibat isu geopolitik melibatkan China yang sentiasa menolak penglibatan Taiwan. 

Sudirman mencari jalan tengah dengan mengadakan pertemuan tidak rasmi bersama wakil kedua-dua persekutuan tersebut. Akhirnya, mereka kembali bersatu di bawah nama IBF (kini dikenali sebagai BWF) pada 1981.

#4 Menjadi Naib Presiden IBF

Jasa besar Sudirman menyatukan semula IBF membuatkan bekas atlet Indonesia itu dipandang tinggi komuniti badminton dunia. Oleh itu, Sudirman pernah ditawarkan jawatan presiden bagi badan induk badminton dunia itu. 

Namun, Sudirman tidak pernah menjawat jawatan tersebut dan terus berkhidmat bersama IBF selaku naib presiden dari tahun 1975 hingga 1983, tiga tahun sebelum pemergiannya. 

#5 Nama Disemat Pada Salah Satu Kejohanan Penting BWF

Bekas Naib Presiden PBSI, Suharso Suhandinata menjadi individu penting dalam memastikan nama Sudirman disemat dalam kejohanan berpasukan campuran bertaraf dunia itu. 

Suhandinata telah menghubungi pihak IBF bagi mengusulkan cadangan nama Sudirman untuk disemat sebagai nama kejohanan, sama seperti Piala Thomas dan Uber yang diilhamkan daripada nama dua tokoh badminton eropah, George Alan Thomas dan Betty Uber. 

Atas persetujuan bersama, Piala Sudirman pun mula dipertandingkan pada tahun 1989. Bagi menghormati bekas pemimpin PBSI itu, trofi setinggi 80 meter dan disaluti emas 22 karat telah direka bersama. Ciri-ciri lain yang berkait rapat dengan identiti Indonesia seperti replika Kuil Borobudur dan tapak kayu jati. 

Featured image: Badminton Indonesia (Facebook)

Komen