Sukan SEA 2023: Indonesia Sekat Kemaraan Perseorangan Lelaki Ke Pentas Akhir
May 15, 2023 Meor Mohamad Amirul

Dua wakil Malaysia, Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang terpaksa akur dihentikan kemaraan mereka ke pentas akhir oleh atlet Indonesia di temasya Sukan SEA 2023. 

Kedua-dua pemain perseorangan lelaki negara itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir bertemu seteru Nusantara itu selepas menewaskan lawan masing-masing dari Filipina dan Thailand.

Jun Hao yang sebelum ini pernah menumbangkan lawannya, Christian Adinata dalam aksi Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 tidak dapat ulangi kejayaan yang sama pada kali ini. 

Adinata yang merupakan perseorangan lelaki no.5 Indonesia itu menewaskan Jun Hao secara ‘straight set’ dengan skor 21-19 dan 21-12 dalam perlawanan yang berakhir selepas 45 minit berlangsung. 

Chico Aura Dwi Wardoyo juga mudah menewaskan Shun Yang dengan kemenangan ‘straight set’ berkeputusan 21-15 dan 21-18 selepas 37 minit perlawanan berlangsung. 

Bagaimanapun, aksi pertama Jun Hao di temasya Sukan SEA membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa setelah mara ke peringkat separuh akhir bersama Shun Yang. 

Dalam pada itu, Adinata dan Chico bakal bertemu di pentas akhir pada Selasa menyaksikan pingat emas dan perak sah menjadi milik Indonesia. 

Featured image: Badminton Association of Malaysia

Komen