Beregu wanita negara menerima nasib sama seperti pemain perseorangan lelaki negara apabila tewas kepada wakil Indonesia di peringkat separuh akhir pada temasya Sukan SEA 2023.
Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan tewas kepada beregu wanita No.14 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amalia Cahaya Pratiwi manakala pasangan Cheng Su Hui-Cheng Su Yin pula akur ditundukkan beregu, Meilysa Trias Puspitasari dan Rachel Allessya Rose.
Pasangan Febriana-Pratiwi mudah menjinakkan Xin Jie-Yeen Yuan menerusi kemenangan ‘straight set’ dengan skor 21-9 dan 21-9 dalam perlawanan yang hanya bertahan selama 30 minit itu.
Bagi gandingan Su Hui-Su Yin, mereka cuba beri saingan kepada lawan mereka tetapi tidak cukup untuk mengikat perlawanan pada set kedua yang menyaksikan mereka tewas kepada Meilysa-Rachel dengan keputusan 10-21 dan 17-21.
Sama seperti perseorangan lelaki, Xin Jie-Yeen Yuan bersama Su Hui-Su Yin turut meraih pingat gangsa yang menyaksikan Malaysia mengutip empat pingat gangsa dalam sukan badminton pada hari kedua terakhir kejohanan.
Dalam pada itu, dua beregu Indonesia berpeluang mempertahankan pingat emas milik mereka yang dimenangi Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti pada edisi yang lalu.
Featured image: Badminton Association of Malaysia (BAM)