Marcelo Bielsa Buka Lembaran Baharu Bersama Skuad Kebangsaan Uruguay
May 16, 2023 โ€ข Hafizuddin Omar

Bekas pengurus pasukan Leeds yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), Marcelo Bielsa kini mendapat tugasan baharu iaitu sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Uruguay.

Skuad berjulukan La Celeste mengumumkan perlantikan jurulatih berusia 67 tahun itu menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Bielsa yang turut dikenali sebagai El Loco hadir mengisi kekosongan yang ditinggalkan Diego Alonso yang meletakkan jawatan setelah Uruguay terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga Bielsa menerima tugas melatih skuad kebangsaan senior selepas Argentina (1998-2004) dan Chile (2007-2011). Selain itu, Bielsa turut pernah membimbing skuad pelapis iaitu Argentina Bawah 23 Tahun (B-23) pada tahun 2004.

Bielsa bukanlah satu sosok yang menghadirkan pelbagai trofi kejuaraan terhadap pasukan di bawah bimbingannya. Namun begitu, Bielsa cukup dikenali dengan kejayaannya membawa skuad Argentina yang turut disertai Lionel Messi memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2004 serta mengemudi Leeds United menjuarai Liga Kejuaraan sekaligus mendapat promosi ke EPL.

Selain itu, gaya dan corak permainan Bielsa amat berpengaruh dan turut dikagumi pengurus ternama dunia seperti Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino.

Sebagai tambahan, Bielsa dijangka memulakan tugasan pertamanya bersama Uruguay dengan menentang Nicaragua dan Cuba dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jun kelak.

Featured Image: Leeds United

Komen