Bekas Pemain JDT, Stuart Wark Umum Pencarian Kelab Baharu Menerusi LinkedIn
May 16, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pemain berdarah warisan, Stuart James Wilson Wark yang pernah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II nampaknya mengintai cabaran baharu apabila memuat naik satu hantaran di LinkedIn untuk mencari kelab baharu setelah bergelar ejen bebas. 

Hal ini bukanlah asing Stuart yang baru sahaja berpisah dengan Kasetsart di Thai League 2. Sebelum menyertai kelab itu, Stuart juga berbuat sedemikian dan berjaya menarik minat kelab Thailand tersebut bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Pemain tengah kelahiran Scotland itu berkelana ke negara Gajah Putih itu pada awal tahun ini setelah lebih enam tahun berada di bumi Malaysia, tempat kelahiran ibunya yang melayakkan Stuart untuk didaftarkan sebagai pemain warisan. 

Pada awal usianya pun, Stuart telah keluar dari zon selesanya di Scotland untuk ke Amerika Syarikat bersama St. Louis Lions (2009/10) dan Australia bersama Altony City FC (2012) serta Albany Creek Excelsior (2015) sebelum ke tanah air baharunya. 

Ketika di Malaysia, Stuart memulakan kerjayanya bersama JDT II dan Sabah pada tahun 2016 tetapi hanya di Felda United, pemain berusia 33 tahun itu mula menyinar di posisi baharunya – pemain tengah bertahan dan pertahanan tengah. 

Dalam satu temubual bersama portal sukan di Scotland, Stuart mendedahkan corak permainan di Malaysia yang pantas menyebabkan posisinya berubah selain kekurangan pemain di posisi bertahan dan kelebihan fizikal yang dimilikinya.

Beraksi sebanyak 53 perlawanan bersama The Fighters termasuk enam perlawanan di Piala AFC, Stuart menjadi pemain penting dalam memacu Felda United kembali di Liga Super setelah merangkul kejuaraan Liga Premier 2018. 

Ibarat pakar dalam mendapatkan promosi buat kelab, Stuart sempat membantu PDRM FA (2019) dan Sarawak United (2021) untuk kembali beraksi di pentas Liga Super sebelum berhijrah ke Thailand. Selain itu, Stuart turut pernah bermain di Penang FC pada musim (2019).

Akhirnya, Stuart keluar dari Malaysia setelah kemelut kewangan yang melanda Sarawak United pada 2022 dan beraksi bersama kelab Thailand, Kasetsart FC dengan mencatatkan 13 perlawanan sepangjang musim ini.

Kini, pemain tersebut bergelar ejen bebas dan mencari kelab baharu untuk disertainya. Di dalam muat naik tersebut, Stuart turut mengepilkan profil kariernya berserta statistik ringkas bagi rujukan mana-mana kelab samada di Liga Malaysia atau negara serantau yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. 

Featured image: JOHOR Southern Tigers

Komen