Beregu campuran negara, Yap Roy King dan Cheng Su Yin meraih pingat perak selepas gagal menewaskan beregu No.10 dunia, Rehan Naufal Kusharjanto dan Lisa Ayu Kusumawati di temasya Sukan SEA 2023.
Gandingan negara berjaya mendahului pada set pertama dengan skor 20-22, mengejutkan beregu Indonesia yang juga merupakan beregu campuran utama negara Nusantara itu.
Rehan Naufal-Lisa Ayu kemudiannya bangkit mendominasi pada set kedua (21-8) sebelum menceriakan penyokong Indonesia setelah mengesahkan kemenangan di set ketiga (21-16) sekaligus meraih emas buat Indonesia.
Menyoroti perjalanan beregu campuran negara, mereka mencatatkan dua kemenangan ‘straight set’ bertemu wakil Singapura dan Kemboja sebelum menghadapi kesukaran menentang pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dengan keputusan 24-22, 25-27 dan 21-19.
Keputusan tersebut turut bermakna skuad Malaysia hanya berjaya membawa pulang pingat perak dan gangsa pada temasya kali ini, berbeza dengan emas tunggal yang berjaya dibawa pulang pasangan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Bagaimanapun, kekalahan tersebut bukanlah sesuatu yang meresahkan buat kedua-dua pemain negara kerana pasangan yang kali pertama digandingkan bersama itu berjaya melangkaui jangkaan umum apabila mara sehingga ke pentas akhir.
Mereka juga memberikan saingan yang cukup sengit kepada gandingan Rehan Naufal-Lisa Ayu yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tetapi pengalaman dan keserasian membezakan keputusan kedua-dua beregu.
Featured image: Badminton Association of Malaysia