Artikel

Sukan SEA 2025: Thailand Umum Temasya Bermula 9 Disember, 3 Bandar Utama Sebagai Hos

Autoriti Sukan Thailand (SAT) mengumumkan 9 hingga 20 Disember 2025 sebagai tarikh penganjuran Sukan SEA edisi ke-33 yang bakal berlangsung di tiga bandar utama Thailand – Bangkok, Chonburi dan Songkhla pada hari ini. 

Gabenor SAT, Dr. Gongsak Yodmani berkata, Thailand akan meneliti setiap aspek penganjuran Sukan SEA 2025 nanti dan memberi keyakinan tentang kesediaan mereka selaku tuan rumah pada Sukan SEA akan datang.

“Kami mempunyai beberapa penginapan dan juga kemudahan sukan bertaraf dunia. Oleh itu, kami lebih daripada bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA ke-33.”

“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan delegasi daripada semua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan dari seluruh Asia Tenggara (ke Thailand) pada tahun 2025”, kata Gongsak dalam sidang media tersebut.

Sidang media yang berlangsung di Garden City Hotel, Phnom Penh, Kemboja itu dihadiri wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM) iaitu Penolong Bendahari merangkap Chef de Mission Malaysia ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali serta pengurus besar, Fong Wan Hor. 

Terdahulu, Thailand telah dipilih selaku tuan rumah Sukan SEA 2025 dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif dan Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) pada Disember 2021 sebelum diumumkan secara rasmi sekitar lima bulan kemudian. 

Turut diumumkan selaku tuan rumah ialah Malaysia (2027) dan Singapura (2029). Malaysia menerusi MOM turut berkongsikan pengumuman keputusan tersebut tetapi masih belum dibincangkan lebih lanjut bersama pihak kerajaan berkenaan penganjuran temasya berkenaan yang kali terakhir dianjurkan Malaysia pada tahun 2017 yang lalu.

Featured image: Majlis Olimpik Malaysia (OCM)

komen