Piala Sudirman: Jin Wei Akur Tunduk Kepada Pemain No.3 Dunia
May 17, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tampak sukar untuk menyaingi kualiti yang dimiliki pemain no.3 dunia, Tai Tzu Ying apabila tewas kepada pemain berusia 29 tahun itu. 

Sebagai rekod, Jin Wei pernah bertemu Tzu Ying sebanyak dua kali sebelum ini di Malaysia menerusi kejohanan Terbuka Malaysia 2018 dan Malaysia Masters 2022 yang kedua-duanya berakhir dengan kekalahan.

Dalam pertarungan tersebut, Jin Wei mudah ditewaskan Tzu Ying secara “straight set” dengan skor 8-21 dan 10-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 28 minit bertempat di Pusat Sukan Olimpik Suzhou.

Kekalahan itu memberikan mata buat Chinese Taipei biarpun Malaysia masih mendahului dengan keputusan 2-1. Malaysia hanya memerlukan satu lagi mata untuk mengesahkan kemenangan dan muncul juara Kumpulan C. 

Terdahulu, wakil pertama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memberikan mata pertama buat skuad negara sebelum rentetan itu diteruskan oleh jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam pertarungan kedua.

Sebelum ini, Jin Wei menampilkan kejutan dengan memberi saingan sengit serta mencatatkan kemenangan ke atas bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu ketika aksi kedua peringkat kumpulan Piala Sudirman 2023.  

Featured Image: Badminton Association of Malaysia 

Komen