Artikel

Inter Milan Ke Perlawanan Akhir UCL Buat Pertama Kali Selepas 13 Tahun

Kelab yang beraksi dalam kancah Serie A, Inter Milan mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat kali pertama selepas 13 tahun.

Kemaraan itu dilakar setelah mencatatkan kemenangan 3-0 secara agregat ke atas seteru setempat, AC Milan setelah meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan timbal balik separuh akhir UCL, pada awal pagi tadi Malaysia.

Kemenangan skuad bimbingan Simone Inzaghi itu hasil sumbangan jaringan tunggal oleh Lautaro Martinez pada babak kedua.

Sebelum itu, Inter mengungguli perlawanan separuh akhir pertama pada minggu lalu dengan kemenangan 2-0 hasil gol cetakan Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan pada babak pertama.

Sebagai rekod, perlawanan akhir UCL 2009-10 menjadi penampilan terakhir Inter dalam saingan elit dan berprestij bola sepak eropah.Β 

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid itu turut menjadi saksi kepada skuad Inter bimbingan Jose Mourinho pada ketika itu menjulang trofi UCL buat kali ketiga dalam sejarah.Β 

Sementara itu, Inter akan mengetahui lawannya di pentas akhir kelak pada awal pagi esok. Skuad berjulukan Nerrazzuri ini akan menantikan cabaran samada daripada Manchester City bimbingan Pep Guardiola atau Real Madrid pimpinan Carlo Ancelotti untuk merebut gelaran Raja Bola Sepak Eropah pada musim ini.

Featured Image: Inter

komen