Piala Sudirman: Malaysia Menang 4-1 Ke Atas Chinese Taipei, Muncul Juara Kumpulan C
May 17, 2023 Meor Mohamad Amirul

Skuad Malaysia mengesahkan kedudukan mereka selaku juara Kumpulan C dan mara ke peringkat suku akhir setelah menewaskan Chinese Taipei dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Selepas dua kemenangan ke atas Australia dan India, perlawanan yang mempertemukan dua pasukan teratas Kumpulan C ini berakhir dengan kejayaan buat Malaysia menerusi keputusan 4-1. 

Malaysia mendahului menerusi gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menewaskan Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin dengan skor 17-21, 21-19 dan 21-17 pada perlawanan pertama. 

Lee Zii Jia meneruskan rentetan kemenangan pada perlawanan kedua selepas menewaskan pemain No.5 dunia, Chou Tien Chen secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 23-21. 

Chinese Taipei cuba bangkit pada perlawanan melibatkan perseorangan wanita No.3 dunia, Tai Tzu Ying yang mudah menundukkan cabaran wakil negara, Goh Jin Wei dengan skor 21-8 dan 21-10. 

Namun, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mengesahkan kemenangan Malaysia setelah mengalahkan beregu lelaki, Lu Ching Yao dan Yang Po Han dengan skor 21-8 dan 23-21. 

Gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pula melengkapkan kemenangan Malaysia apabila berjaya menewaskan Hsu Ya Ching dan Teng Chun Hsun dengan keputusan 21-15, 19-21 dan 21-15.

Biarpun tewas, Chinese Taipei akan mengiringi Malaysia ke peringkat suku akhir bagi Kumpulan C. Baki enam lagi pasukan daripada tiga kumpulan lain hanya akan diketahui petang ini dan esok. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia (BAM)

Komen