5 Atlet Negara Yang Memecahkan Rekod Di Sukan SEA 2023
May 19, 2023 Meor Mohamad Amirul

Sukan SEA 2023 telah melabuhkan tirainya dengan 34 pingat emas berjaya dibawa pulang Kontinjen Malaysia. Pada masa yang sama, sebanyak 45 pingat perak dan 96 pingat gangsa turut dikutip daripada temasya dwitahunan kali ke-32 ini. Selain jumlah pungutan pingat, temasya kali ini turut memperlihatkan beberapa rekod baharu telah dicipta para atlet kebangsaan. 

Di sini, Sukanz senaraikan 5 atlet negara yang berjaya memecahkan rekod peribadi, kebangsaan dan temasya pada edisi kali ini:

#1 Nur Sarah Adi (Lompat Bergalah) – Rekod Peribadi [4.05m]

Meskipun gagal mempertahankan emas di Sukan SEA 2023, Nur Sarah Adi yang beraksi sebagai atlet lompat bergalah berjaya memperbaiki rekod peribadinya kali ini dengan mencatatkan lompatan berketinggian 4.05 meter (m).

Rekod tersebut sekaligus memperbaiki rekod di Sukan SEA 2021 (4.00m) dan meletakkan dirinya selaku pemenang pingat perak walupun berkongsi ketinggian lompatan yang sama dengan pemenang pingat emas, Chonthicha Khabut. 

#2 Azreen Nabila, Zaidatul Husniah, Afrina Batrisya & Aishah Rofina (4x100m) – Rekod Kebangsaan [44.58s]

Zaidatul merupakan insan terpilih kerana dapat memecah rekodnya sendiri bersama Azreen, Afrina dan Aishah. Mereka berhasil memungut pingat gangsa dengan catatan masa 44.58m pada temasya kali ini dan memperbaharui rekod kebangsaan milik Zaidatul dan tiga lagi bekas rakan sepasukannya. 

Terdahulu, Zaidatul bersama S. Komalam, Siti Fatimah dan Faizah Asma telah mencipta rekod kebangsaan bagi acara 4x100m wanita di Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di India pada tahun 2017 dengan catatan masa 44.51s. 

#3 Hoe Yean, Yin Chuen, Arvin Shaun & Terence Ng (4x100m Gaya Bebas) – Rekod Kebangsaan [3:20.61s]

Menjadi satu-satunya wakil sukan akuatik, empat perenang negara ini berjaya memungut pingat perak apabila mencatatkan masa renangan selama 3 minit dan 20.61 saat pada temasya Sukan SEA 2023. 

Mereka memperbaiki rekod kebangsaan yang dipegang Keith Lim, Welson Sim, Chan Jie dan Wei Tze di Sukan Asia 2018 Indonesia yang meletakkan empat perenang tersebut di tangga keenam kejohanan tersebut dengan catatan masa 3 minit dan 21.06 saat.

#4 Umar Osman (800m) – Rekod Kebangsaan [46.34s]

Penampilan sulung Umar Osman bukan sahaja mengejutkan dirinya malahan ramai pihak apabila merangkul pingat emas bagi acara 800m dengan catatan masa 46.34s yang juga rekod baharu kebangsaan.

Rekod terdahulu dipegang Zaiful Zainal Abidin iaitu catatan masa 46.41s yang dicipta dalam Kejohanan Remaja Asia di Bandar Seri Begawan, Brunei pada tahun 2001 dan bertahan selama 22 tahun.

#5 Grace Wong (Lontar Tukul Besi) – Rekod Temasya [61.88m]

Ratu lontar tukul besi Asia Tenggara, Grace Wong bukan sahaja dapat mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Hanoi malahan memecahkan rekod temasya dengan lontaran terbaiknya berjarak 61.88m.

Catatan terbaharunya itu memadam rekod temasya yang turut dicipta oleh dirinya sendiri pada temasya Sukan SEA 2017 iaitu lontaran sejauh 59.24m. Namun, jarak lontarannya itu belum dapat menandingi rekod kebangsaan yang juga rekod terbaik peribadinya – 62.48m di Kejohanan GP Malaysia 2021. 

Komen