Piala Asia B-17 2023: Tiga Pemain JDT IV Lengkapkan Senarai 26 Pemain Ke Fasa Akhir
May 18, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengendali skuad bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan, Osmera Omaro telah menyenaraikan 26 pemain bagi mengikuti kem latihan pusat dan pemilihan fasa akhir skuad Piala Asia B-17 yang merangkumi majoriti pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) disamping tiga pemain Johor Darul Ta’zim IV (JDT IV).

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dikongsikan pelbagai media sosial rasmi persatuan. 

Seramai 20 pemain yang tersenarai ketika kem pemilihan fasa kedua di Doha, Qatar telah dikekalkan dan enam muka baharu telah dipanggil pada kali ini – Dainei Mat Disa, Adam Mikaeel, Ahmad Danial, Danish Darus, Arami Wafiy dan Ammar Shauqi. 

Ini bermaksud lima pemain telah digugurkan daripada senarai pemain sebelum ini. Mereka ialah Irfan Zakwan, Hakim Hassan, Hatif Irfan, Shakir Nasir dan Hilmi Farish. 

Kem latihan pusat dan pemilihan fasa akhir ini akan berlangsung bermula Ahad, 21 Mei sehingga Isnin, 12 Jun di dua lokasi – Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang sebelum meneruskan latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 31 Mei nanti. 

Untuk rekod, Osmera Omaro telah menyenaraikan seramai 45 pemain yang disaringkan menerusi tiga fasa pemilihan yang telah berlangsung sejak Februari lagi.

Skuad B-17 negara bakal berlepas ke Bangkok, Thailand pada Isnin, 12 Jun bagi menghadapi kempen Piala Asia B-17 2023 yang akan bermula 15 Jun hingga 2 Julai kelak. 

Malaysia yang telah diundi dalam Kumpulan A akan memulakan saingan bertemu Yemen di Stadium Thammasat pada Khamis, 15 Jun dan diikuti dengan aksi menentang tuan rumah, Thailand (Ahad, 18 Jun) dan Laos (Rabu, 21 Jun) di Stadium Pathum Thani dan Stadium Thammasat masing-masing. 

Sekiranya mara ke separuh akhir, Malaysia bersama tiga lagi pasukan lain akan layak secara automatik ke Piala Dunia B-17 2023 yang dijadualkan berlangsung pada November depan. 

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Malaysia

Komen