Liga Juara-Juara UEFA: Edin Dzeko Bertemu Bekas Pasukannya di Pentas Akhir
May 18, 2023 Meor Mohamad Amirul

Edin Dzeko berpeluang kembali beraksi di atas padang yang sama dengan bekas pasukannya, Manchester City tetapi kali ini sebagai lawan buat skuad berjulukan The Citizen itu apabila mereka bertemu di pentas akhir Liga Juara-Juara UEFA, akhir Mei nanti. 

Menerusi Instagram miliknya, penyerang Bosnia itu tampak teruja menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Istanbul memandangkan sudah tujuh tahun berhijrah dari kota Manchester untuk ke bumi Itali bersama A.S Roma dan Inter Milan.

Manchester City mengesahkan tempat mereka sebagai finalis kejohanan tertinggi eropah itu setelah berjaya membelasah juara bertahan, Real Madrid 4-0 di Stadium Etihad sekaligus menjadikan agregat perlawanan 5-1, awal pagi tadi.

Inter Milan pula mara lebih awal setelah menewaskan seteru setempat mereka, AC Milan di Stadium San Siro dan menjadikan agregat 3-0 berpihak kepada I Nerazzurri yang kembali ke pentas akhir selepas 13 tahun penantian. 

Kemaraan kali kedua Manchester City tampak lebih menyakinkan dengan kehadiran penjaring terbanyak, Erling Haaland selaku tunjang utama bagi memastikan trofi Liga Juara-Juara UEFA menjadi milik The Citizen buat julung kalinya.

Kali terakhir Inter Milan menjuarai trofi keramat eropah itu adalah pada musim 2009/10 di bawah kendalian pengurus terkemuka, Jose Mourinho dan kini giliran Simone Inzaghi untuk mengulangi kejayaan tersebut. 

Komen