Artikel

Pemain Indonesia, Thailand Turut Warnai Saingan STL 2023 – Presiden PSM

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Dato’ Mohd Sumali Reduan mengesahkan kehadiran 13 pemain import dari Indonesia dan Thailand dalam saingan Sepak Takraw League (STL) 2023.

Tambah Sumali, saingan Liga Juara-Juara STL 2023 akan dirancakkan dengan penyertaan pasukan jemputan antarabangsa melibatkan empat negara asia – Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan Filipina. 

“Sebelum ini, STL dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemain import dari Thailand. Namun, terdapat juga pemain dari Indonesia akan turun beraksi menyaksikan seramai 13 pemain import musim ini.”

“Sementara itu, Liga Juara-Juara STL pula akan gamat dengan penyertaan pasukan jemputan antarabangsa dari Thailand, Korea (Selatan), Indonesia dan Filipina”, ujar Sumali dalam Majlis Pelancaran & Memperkenalkan Jersi STL 22/23.

Dalam pada itu, Dewan Arena Jubli di Kuala Kangsar, Perak menjadi arena pertama kejohanan sukan warisan yang bakal bermula 26 Mei 2023.

Selain Perak, tiga lagi lokasi luar lembah Klang yang dipilih sebagai lokasi saingan STL 2023 ialah Spice Arena, Pulau Pinang (Minggu 2), Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan (Minggu 3) dan Iskandar Malaysia Studios, Johor (Liga Juara-Juara STL).

Selebihnya, aksi STL 2023 akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula Minggu 4 sehingga Minggu 8 termasuk saingan Divisyen 1 dan Piala Cabaran.

Peminat sepak takraw tempatan boleh membeli tiket secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula esok pada 19 Mei 2023.

komen