Tanya Shahidan Kassim – Respon Menteri Terhadap Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas
May 19, 2023 Meor Mohamad Amirul

“PAS harus bercakap dengan (Datuk Seri) Shahidan.”

Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan apabila diminta memberikan komen tentang kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Pemuda PAS, Fadhli Shaari berkenaan pencapaian terburuk Malaysia dalam sejarah Sukan SEA. 

Tegas Hannah, Fadhli perlu mengikuti perkembangan terkini dan bertanya pendapat Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merangkap Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sebelum komen di media sosial, sila baca berita. Tanya Datuk Seri Shahidan, apa pendapat beliau tentang Sukan SEA sebelum PAS buka mulut”, ujar Hannah dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Jersi Sepak Takraw League (STL) 22/23. 

Kenyataan Fadhli itu turut menyentuh kedudukan negara di tangga ketujuh dalam carta pungutan pingat selain daripada kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 40 emas yang diumumkan Hannah sebelum bermulanya temasya. 

Sebelum ini, Shahidan telah meletakkan sasaran 10 pingat emas bagi saingan Sukan SEA 2023. Namun, ianya berakhir dengan hanya meraih lima emas sahaja. 

Bagaimanapun, menerusi satu laporan media, Shahidan menerima kritikan yang dilontarkan kepadanya ekoran kegagalan untuk mencapai sasaran tersebut. Difahamkan sasaran tersebut diletakkan tanpa berbincang dengan barisan kejurulatihan.

Selain KOM, Shahidan juga merupakan Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS).  

Komen