STL 2023: Juara Piala Cabaran Bawa Pulang RM20,000
May 19, 2023 Meor Mohamad Amirul

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mendedahkan hadiah kemenangan bagi Liga Sepak Takraw League (STL) Divisyen Perdana dan Piala Juara-Juara STL masih lagi dikekalkan.

Tambah Sumali, pemenang saingan baharu iaitu Piala Cabaran pula akan menerima RM20,000 dan sebarang perubahan hasil perbincangan pihak penganjur dan penaja akan dimaklumkan kelak. 

“Hadiah wang tunai Liga Divisyen Perdana masih lagi RM100,000 dan hasil perbincangan awal, hadiah Piala Juara-Juara juga kekal RM25,000 tetapi kami usaha untuk naikkan.”

“Yang terbaharu, Piala Cabaran, RM20,000. Namun, sebarang perubahan hasil perbincangan dengan pihak Astro dan penaja, saya akan maklumkan kemudian”, jelas Sumali dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran & Memperkenalkan Jersi STL 22/23, semalam. 

Dalam pada itu, Sumali turut menekankan beberapa perubahan pada saingan STL musim ini seperti kewujudan Piala Cabaran yang melibatkan empat pasukan terbaik Divisyen Perdana dan penyertaan pasukan dari Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan Filipina dalam saingan Piala Juara-Juara STL.

Minggu 1 STL akan membuka tirainya pada Jumaat, 26 Mei di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar melibatkan 10 pasukan – ATM Guardians, KL Thunder, Johor Tigris, Penang Black Panthers, Negeri Sembilan Antlers, Perak Bison, Bomba Fighters, Melaka Titans, Sabah Mountaineers dan KPT-Masum Knights.

Peminat sepak takraw tempatan boleh membeli tiket secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula hari ini, 19 Mei 2023.

Featured image: Persatuan Sepak Takraw Malaysia 

Komen