Piala Sudirman: Malaysia Capai Sasaran, Bertemu Korea Di Separuh Akhir
May 19, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia berhasil mencapai sasaran mara ke peringkat separuh saingan berpasukan campuran, Piala Sudirman 2023 sepertimana ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malaysia melakar kemaraan ke peringkat tersebut selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Denmark dalam aksi peringkat suku akhir yang tamat sebentar tadi.

Gandingan beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengesahkan kemaraan tersebut apabila mencatatkan kemenangan “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-16  ke atas Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan keempat.

Sebelum itu, Denmark berhasil mengekang Malaysia daripada mencatatkan kemenangan dengan lebih awal apabila perseorangan wanitanya, Mia Blichfeldt berhasil mengatasi Goh Jin Wei menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-14, 15-21 dan 21-19 dalam pertarungan ketiga.

Sementara itu, Denmark terpaksa akur memberikan satu mata percuma kepada Malaysia selepas ayam tambatannya merangkap perseorangan lelaki No.1 dunia, Viktor Axelsen terpaksa menarik diri ketika menentang Lee Zii Jia selepas beraksi selama lima minit permainan pada pertarungan kedua ekoran kecederaan.

Terdahulu, Malaysia bermula dengan langkah kanan pada pertarungan pertama menerusi gandingan beregu campuran negara yang sedang meningkat naik, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menumpaskan pasangan Mathias Christiansen dan Alexandra Bøje dengan skor 15-21, 21-14 dan 21-7.

Menanti Malaysia di peringkat separuh akhir pada hari esok ialah Republik Korea yang menumpaskan Taiwan dengan keputusan 3-1 di peringkat suku akhir.

Untuk makluman semua, pencapaian Malaysia mara ke peringkat separuh akhir dalam saingan Piala Sudirman kali ini sekaligus menyamai pencapaian yang dilakar skuad negara pada edisi lalu di Vantaa, Finland serta mengesahkan membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Komen