Piala Sudirman: Korea Kekang Malaysia Cipta Sejarah Ke Perlawanan Akhir
May 20, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan skuad negara dalam saingan Piala Sudirman 2023 terhenti setakat peringkat separuh akhir – sama seperti edisi lalu – sekaligus kekal tidak pernah melangkah ke perlawanan akhir sejak mula dipertandingkan pada tahun 1989.

Malaysia kempunan untuk mara ke perlawanan akhir buat julung kalinya apabila terpaksa akur tumpas di tangan skuad Korea dengan keputusan 1-3 dalam pertembungan separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, sebentar tadi.

Dalam pertembungan tersebut, Malaysia bermula langkah kiri ketinggalan 0-1 apabila beregu campuran negara yang menghuni ranking ke-22, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang turun selaku taruhan pertama tumpas kepada pasangan yang berada di ranking kelima dunia, Seo Seung-jae dan Chae Yu Jung dengan keputusan 21-11, 13-21 dan 7-21.

https://twitter.com/BWFScore/status/1659767149584601088?s=20

Namun begitu, jaguh perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia berhasil memastikan Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 menerusi kemenangannya pada pertarungan kedua menentang Jeon Hyeok-jin secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-9.

Akan tetapi, Malaysia terpaksa merelakan Korea mengutip mata mudah pada pertarungan ketiga untuk kembali mendahului 2-1. Ternyata jaguh perseorangan wanitanya yang menghuni ranking kedua dunia, An Se Young bukan lawan yang setanding dengan taruhan Malaysia, Letshanaa Karupathevan. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan Se Yong mencatatkan kemenangan “straight set” 21-10 dan 21-13. 

Malang buat Malaysia apabila Korea turut berjaya meneruskan rentetan kemenangan itu pada pertarungan keempat yang menjadikan keputusan 3-1 sekaligus menoktahkan perjalanan skuad negara pada kempen Piala Sudirman kali ini.

Kemenangan Korea pada pertarungan itu disumbangkan oleh “scratch pair” Kim Won-ho dan Na Sung-seung dengan taruhan negara merangkap juara Kejohanan Dunia BWF, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-11.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen