Biarpun Kandas Awal, Joo Ven Bersyukur Beraksi Di Malaysia Masters 2023
May 23, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perseorangan lelaki bebas (indpendent) negara, Soong Joo Ven tetap bersyukur dapat beraksi dalam saingan Malaysia Masters 2023 biarpun tewas di tangan perseorangan lelaki Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin dalam aksi pusingan 16 peringkat kelayakan, hari ini. 

Jelas Joo Ven yang kini menghuni ranking ke-71 dunia menjelaskan kecederaan yang dialaminya sejak sirkit eropah yang lalu sedikit sebanyak menjejaskan persiapannya untuk terus beraksi pada masa akan datang.

“Saya masih bangga dan gembira sebab boleh beraksi lagi di Malaysia Masters. Sebelum ini, saya pun tak pasti lagi saya boleh bermain akibat kecederaan yang dialami sejak Sirkit Eropah.”

“Selepas ini, saya akan bincang dengan jurulatih tentang perancangan akan datang. Selepas itu, baru kita tahulah,” ujar Joo Ven ketika ditemui selepas perlawanannya menentang Jeon Hyeok-jin.

Dalam pertarungan tersebut, Joo Ven tewas di tangan Hyeok-jin secara “straight set” dengan skor 21-8 dan 21-18 dalam tempoh 39 minit perlawanan berlangsung. 

Untuk makluman, ini merupakan kemunculan semula Joo Ven dalam kejohanan antarabangsa selepas pulang daripada eropah. Kali terakhir pemain itu beraksi adalah pada kejohanan Orleans Masters yang berlangsung awal April lalu.

Pada kejohanan tersebut, pemain berusia 28 tahun itu telah menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan 32 menentang perseorangan lelaki dari Israel, Misha Zilberman yang berakhir dengan skor 20-22 dan 5-3.

Komen