Malaysia Masters: Ghairah Menyerang Punca Jun Hao Berputih Mata
May 23, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui keghairahannya untuk bermain secara lebih menyerang ternyata mengundang padah buat dirinya apabila tewas kepada perseorangan lelaki Chinese Taipei, Chi Yu-Jen dalam aksi peringkat kelayakan Malaysia Masters 2023, hari ini. 

Tambah Jun Hao, perubahan taktikal pihak lawan di set kedua dan ketiga turut menganggu corak permainannya selain daripada faktor angin dan bulu tangkis yang menjadi faktor penurunan prestasi pada set kedua dan ketiga.

“Dalam set kedua dan ketiga, dia ada tukar corak permainan dan saya agak bernafsu untuk cari ‘tuning’ tetapi bulu tangkis agak perlahan. Mungkin sebab kurang peredaran udara di dalam gelanggang.”

“Jadi, saya semakin tidak sabar untuk menyerang. Oleh sebab itu, saya banyak kehilangan mata dan saya kalah,” ujar Jun Hao ketika ditemuramah wartawan selepas perlawanan menentang Yu-Jen. 

Dalam pertarungan tersebut, Jun Hao tewas di tangan Yu-Jen biarpun mendahului pada set pertama dengan skor 22-20, 19-21 dan 11-21 dalam tempoh 71 minit perlawanan berlangsung. 

Jun Hao yang baru pulang dari Kemboja tidak menafikan sedikit keletihan selepas membawa pulang gangsa di Sukan SEA 2023 tetapi tidak meletakkannya sebagai alasan kepada kekalahannya hari ini kerana sudah menjadi lumrah kalender badminton untuk mempunyai jadual yang padat. 

Ketika di Kemboja, Jun Hao dan Lee Shun Yang berkongsi pingat gangsa selepas tewas kepada lawan masing-masing dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo dan Christian Adinata di peringkat separuh akhir. 

Featured Image: Badminton Asia

Komen