Ranking BWF: Jaguh Perseorangan Negara Jatuh Ke Tangga Kesepuluh Dunia
May 23, 2023 Hafizuddin Omar

Kedudukan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam Ranking Dunia BWF terus merudum apabila mencatatkan penurunan dua anak tangga selepas menghuni tempat kelapan dunia selama tiga minggu berturut-turut.

Kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan pemain berusia 25 tahun tersebut kini menghuni ranking kesepuluh dunia – kedudukan yang kali terakhir dihuninya pada pertengahan Mac 2021.

Zii Jia berada di kedudukan tersebut dengan kutipan 59,276 mata – berkurangan 6,129 mata berbanding pada minggu lalu.

Tangga kelapan dunia pada minggu ini menjadi milik pemain China, Shi Yu Qi selepas mengumpul 68,824 mata yang membolehkannya melangkau dua anak tangga berbanding kedudukannya yang lalu.

Manakala tangga kesembilan dunia pula dihuni oleh pemain India, Prannoy H. S. dengan kutipan 66,147 mata.

Pada masa yang sama, kedudukan empat perseorangan lelaki teratas dunia kekal tanpa sebarang perubahan dengan Viktor Axelsen masih unggul di tangga pertama diikuti Anthony Sinisuka Ginting, Kodai Naraoka dan Loh Kean Yew di tangga kedua, ketiga dan keempat masing-masing.

Featured Image: Victor Facebook

Komen