Malaysia Masters: Kejang Otot Hujung Perlawanan Halang Aidil Atasi Pemenang Emas Sukan SEA 2023
May 23, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh terpaksa akur tunduk kepada pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Christian Adinata dalam aksi akhir peringkat kelayakan Malaysia Masters 2023. 

Mengulas lebih lanjut, Aidil mendedahkan bahawa dirinya hampir mengalami kekejangan otot dan kesakitan yang dialaminya itu menyebabkan tempo permainan yang dipamerkan menjadi semakin perlahan pada set ketiga perlawanan. 

“Pada set ketiga itu, saya jaga kaki saya. Saya pun dah nak ‘cramp’ (kejang) tadi. Takut ‘cramp’ terus, saya tak boleh main pula nanti. Itu sebab saya main ‘jauh-jauh’ tadi.”

“Saya rasa agak puas hati tadi main dengan dia (Adinata), dapat ‘rubber game’ (set penentuan) tapi nak menang itu tak dapat pula,” ulas Aidil ketika ditemu ramah wartawan selepas perlawanan menentang Adinata. 

Dalam perlawanan tersebut, Aidil terlebih dahulu berada di hadapan selepas memenangi set pertama (21-16) sebelum tewas pada set kedua (15-21) dan mengesahkan kemenangan pada set ketiga (22-20) dalam perlawanan yang berlangsung selama 77 minit itu. 

Untuk rekod, Aidil pernah bertemu dengan Adinata dalam saingan Indonesia Masters 2022 yang turut memihak kepada pemain berusia 22 tahun itu dengan keputusan “straight set” 15-21 dan 17-21.

Selain Aidil, empat lagi perseorangan lelaki negara iaitu Leong Jun Hao, Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Mohamed Sikkander Mohamad Hafiz turut terkandas di peringkat kelayakan. 

Featured Image: Badminton Asia

Komen