Malaysia Masters: Yew Sin-Ee Yi Singkir Beregu No.4 China
May 23, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi berhasil memulakan kempen Malaysia Masters 2023 dengan langkah kanan menyingkirkan gandingan No.4 China, Ren Xiang Yu dan Tan Qiang pada Pusingan 32, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking kelapan dunia menampilkan aksi yang bertenaga serta bersemangat berjaya menumpaskan Ren-Tan secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-18 dalam tempoh 39 minit permainan.

Kemenangan Yew Sin-Ee Yi itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan ke Pusingan 16 bahkan menjadikan rekod kemenangan ke atas Ren-Tan kepada dua kemenangan berturut-turut. 

Sebelum ini, Yew Sin-Ee Yi turut pernah mencatatkan kemenangan ke atas lawan yang sama ketika bertemu dalam saingan Terbuka Malaysia pada Januari lalu. 

Sementara itu, di Pusingan 16 kelak, Yew Sin-Ee Yi akan menantikan cabaran daripada beregu Chinese Taipei, Lu Ching Yao dan Yang Po-han yang menghuni ranking ke-14 dunia. 

Beregu tersebut mara selepas menumpaskan wakil Belanda yang berada di ranking ke-37 dunia, Ruben Jille dan Ties Van Der Lecq dengan skor 21-17 dan 21-15.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen