Artikel

Malaysia Masters: Kai Wun ‘Lupa’ Kesakitan Ketika Singkir Beregu No.1 Denmark

Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun akui seakan-akan ‘lupa’ akan kecederaan yang dialaminya ketika bersama-sama Man Wei Chong menundukkan beregu No.1 Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen di pusingan 32 Malaysia Masters, semalam.

Gandingan negara yang berada di ranking ke-26 dunia itu mempamerkan aksi cemerlang serta saingan yang cukup sengit kepada Astrup-Rasmussen sebelum menamatkan pertemuan sulung menentang pasangan itu dengan kemenangan yang cukup mengejutkan orang ramai di Axiata Arena. 

“Saya sekarang hampir pulih dalam 10 peratus lagi. Ada rasa sakit sikit tetapi bila main, saya langsung sudah tidak fikir kesakitan yang saya alami, ” ujar Kai Wun ketika ditemui para wartawan selepas perlawanan.

Mengulas lebih lanjut, mereka tidak terlalu memikirkan tentang status lawan mereka biarpun mengetahui kedudukan pasangan Denmark itu jauh lebih baik. Sebaliknya mereka mencurahkan segala usaha agar dapat mara ke peringkat seterusnya. 

Dalam perlawanan tersebut, gandingan Wei Chong-Kai Wun mengatasi saingan beregu No.11 dunia itu secara “straight set” menerusi skor 25-23 dan 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit. 

Untuk rekod, Kejohanan Badminton Asia pada Mac lalu yang menyaksikan pasangan tersebut mara ke pusingan 16 menentang beregu utama Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menjadi aksi terakhir mereka sebelum terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Selain Wei Chong-Kai Wun, pasangan Yew Sin-Ee Yi layak terlebih dahulu selepas menewaskan pasangan China, Ren Xiang Yu dan Tan Qian dengan keputusan “straight set” 21-16 dan 21-18.

Manakala, pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menundukkan lawan mereka dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dengan skor 21-18, 10-21 dan 23-21 dalam aksi terakhir beregu lelaki pada hari pertama kejohanan, semalam. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia 

komen