Selepas enam bulan bergerak tanpa jurulatih, jaguh perseorangan lelaki negara yang bergerak secara bebas (independent), Lee Zii Jia tampil mengumumkan mendapatkan khidmat Wong Tat Meng untuk membantunya layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris.
Pengumuman itu dikongsikan oleh pelbagai platform media sosial rasmi milik pasukannya, Team LZJ sekitar lewat petang tadi.
Menurut makluman itu lagi, jurulatih berusia 56 tahun yang mempunyai pengalaman bersama badan induk badminton pelbagai negara seperti Indonesia, Scotland, Republik Korea, Hong Kong selain Malaysia berperanan sebagai Pengarah Kejurulatihan bagi Team LZJ.
It is with great pleasure that we announce the appointment of Mr. Wong Tat Meng as the new Coaching Director for Team LZJ. pic.twitter.com/lyWpEJZR7M
— Team LZJ (@TeamLZJ) May 23, 2023
Difahamkan, Tat Meng akan segera merangka program yang akan membantu Zii Jia mencapai prestasi yang konsisten, meningkatkan ranking dunia selain layak menyertai temasya Olimpik di Paris pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, Tat Meng akan memulakan tugasnya bersama Team LZJ sejurus selesai proses perpindahan dari Hong Kong ke Malaysia dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Zii Jia telah bergerak tanpa bimbingan jurulatih selama sekitar enam bulan selepas membuat keputusan untuk berpisah dengan Indra Wijaya pada penghujung November tahun lalu.
Pada masa yang sama, Team LZJ turut memaklumkan bahawa bekas perseorangan lelaki kebangsaan, Liew Daren kekal dalam barisan kejurulatihan mereka.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia