Skuad hoki remaja lelaki Malaysia memulakan kempen Piala Remaja Asia 2023 dengan langkah kanan apabila berjaya membelasah Uzbekistan pada aksi pembukaan Kumpulan B di Oman, semalam.
Skuad kendalian Amin Abdul Rahim itu menjaringkan lapan gol menewaskan negara Asia Tengah itu termasuk jaringan hatrik daripada pemain berjersi No.6, T. Perabu dan kini mendahului kedudukan kumpulan.
Selain T. Perabu, lima lagi jaringan Malaysia dihasilkan oleh Alfarico Liau, Shahmie Irfan, Che Nur Aqilrullah, Mughni Kamal dan Adam Ashraf dalam keempat-empat suku perlawanan.
Uzbekistan berjaya menjaringkan gol tunggal saguhati pada minit ke-55 menerusi pemain berjersi No.5 mereka, Kakharamonov Shavkatjon sekaligus menamatkan aksi yang berlangsung di Kompleks Belia Kebudayaan dan Hiburan Sultan Qaboos dengan keputusan 8-1.
Malaysia bakal bertemu Bangladesh yang berjaya menewaskan tuan rumah, Oman dengan keputusan 2-0 pada perlawanan seterusnya untuk mengekalkan momentum dan terus mendahului Kumpulan B.
Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara Piala Remaja Asia pada tahun 2012 selepas menewaskan Pakistan ketika menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut di Melaka.
Untuk pengetahuan semua, skuad hoki remaja yang beraksi semalam juga merupakan skuad yang sama mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja yang menyaksikan mereka menggondol pingat emas buat kontinjen negara.
Featured Image: Asian Hockey Federation