Pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt kecewa dengan sikap para pemainnya tidak mengikut arahan yang telah diberikan serta bermain secara semberono ketika mereka tewas kepada PDRM FC, semalam.
Jelas Bernhardt, dua jaringan awal skuad Sang Saka Biru itu terhasil menerusi kegagalan perangkap ofsaid yang dilakukan pertahanan tatkala pengendali berusia 54 tahun itu tidak mengarahkan pemainnya bermain sebegitu.
“Dua gol pertama, pertahanan kami cuba membuat perangkap ofsaid. Kami tak pernah berbincang tentangnya, saya tak pernah beritahu mereka untuk bermain sebegitu. Saya tak tahu kenapa mereka berbuat sedemikian.”
“Kadangkala, mereka tidak mengikut apa yang sudah diberitahu sebelum perlawanan. Sebagai contohnya, mereka cuba membuat perangkap ofsaid seperti dalam perlawanan hari ini. Mereka merasakan apa yang mereka buat itu bagus, tetapi sebenarnya tidak”, tegas Bernhardt dalam sidang media selepas perlawanan menentang PDRM.
PDRM FC mencatat kemenangan keempat musim ini!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/6s5NCqHNfH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 23, 2023
Bernhardt juga kecewa dengan prestasi yang ditampilkan para pemainnya yang dilihat tidak begitu komited di dalam perlawanan menyebabkan mereka mudah untuk ditewaskan.
Dalam aksi liga tersebut, The Red Warriors tunduk kepada PDRM dengan keputusan 4-1 hasil jaringan Marcus Macauley, Nabil Lapti, Uche Agba dan Bruno Suzuki. Gol tunggal tuan rumah dihasilkan Miguel Cifuentes pada penghujung perlawanan.
Kelantan kini berada di tangga ke-13 liga dengan empat mata terkumpul, dibezakan satu mata dengan seteru senegeri, Kelantan United yang kini menghuni tangga terbawah liga.
Dalam pada itu, nasib Bernhardt masih menjadi tanda tanya selepas mencatatkan kekalahan kelima berturut-turut tatkala pemilik Kelantan, Norizam Tukiman pernah mendedahkan klausa berkenaan pemecatan jurulatih sekiranya pasukan itu mengalami lima kekalahan selepas perlantikan Bernhardt.
Featured Image: Kelantan FC