Malaysia Masters: Kian Men-Pei Jing Gagal Ke Suku Akhir Buat Kali Ketujuh Berturut-Turut
May 24, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran bebas (independent) tanah air, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing kini gagal menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir buat kali ketujuh berturut-turut dalam kejohanan individu yang disertai mereka pada tahun ini.

Terbaru, kemarau ke peringkat tersebut berlanjutan apabila Kian Meng-Pei Jing yang menghuni tangga ke-17 dunia pada saat ini tumpas dalam Pusingan 32 dalam saingan Malaysia Masters 2023, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Kian Meng-Pei Jing tumpas kepada beregu No.2 Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran secara “straight set” menerusi skor 20-22 dan 20-22 dalam tempoh 44 minit permainan.

Untuk makluman, ini merupakan kekalahan pertama dialami Kian Meng-Pei Jing selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Supak-Supissara dalam saingan Jelajah Akhir Dunia BWF dan All England pada tahun lalu.

Sebagai rekod, selain gagal ke peringkat suku akhir, Kian Meng-Pei Jing hanya melakar kemaraan sebanyak dua kali sahaja daripada tujuh kejohanan setakat ini ke Pusingan 16. 

Dua kejohanan terbabit adalah ketika beraksi dalam saingan Indonesia Masters dan All England pada penghujung Januari dan pertengahan Mac lalu masing-masing.

Featured Image: Victor Instagram

Komen